Monday, 15 October 2012

langkah-langkah untuk memastikan kebersihan kawasan persekitaran sekolah

Tugasan soalan – langkah-langkah untuk memastikan kebersihan kawasan persekitaran sekolah
Idea
i.                     Pemantapan sahsiah murid
ii.                   Penguatkuasaan peraturan sekolah
iii.                  Kempen menjaga kebersihan
Sekolah merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berazam untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak agar mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar kini. Hasrat ini dapat direalisasikan jika persekitaran sekolah berada dalam keadaan kondusif kerana anak-anak akan berasa selesa apabila berada di sekolah. Persekitaran yang kondusif ada hubung kait dengan kebersihan kawasan sekolah. Pada pendapat saya, pelbagai langkah boleh dilakukan untuk memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih.
Sahsiah terpuji  atau keperibadian unggul memainkan peranan yang sangat dominan dalam membentuk jati diri yang mapan. Sahsiah murid yang mantap mampu memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih. Murid-murid yang sering membuang sampah merata-rata merupakan individu yang tidak memiliki sahsiah terpuji. Mereka tidak mempunyai perasaan sayang akan sekolah kerana sahsiah mereka pada tahap rendah. Oleh itu, pihak sekolah perlu memastikan murid-murid mempunyai sahsiah yang unggul agar mereka menunjukkan rasa sayang akan sekolah. Pelbagai program boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi melahirkan murid yang memiliki sahsiah terpuji. Sebagai contoh, program seperti Kem Jati Diri mampu memupuk rasa sayang kepada sekolah.  Aktiviti dalam Kem Jati Diri seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah misalnya, mampu memupuk rasa cinta murid kepada sekolah. Murid-murid juga dapat berinteraksi antara satu sama lain semasa melakukan kerja gotong-royong. Faedah daripada aktiviti ini ialah kawasan sekolah bukan sahaja menjadi bersih tetapi pada masa yang sama juga hubungan antara murid dapat dieratkan seperti peribahasa sambil menyelam minum air. Oleh itu, jelas bahawa sahsiah yang mantap mampu memastikan kebersihan kawasan persekitaran sekolah.
Selain sahsiah yang mantap, penguatkuasaan peraturan sekolah juga mampu memastikan kawasan persekitaran sekolah senrtiasa bersih. Peraturan sekolah digubal adalah untuk memastikan murid-murid dapat mendisiplinkan diri  agar mereka menjadi insan yang berguna. Peraturan supaya murid-murid menjaga kebersihan kawasan persekitaran sekolah seperti kantin, padang, kelas, asrama dan sebagainya telah ditulis dalam Buku Peraturan Sekolah. Peraturan ini dirangka supaya murid-murid  menjaga kebersihan kawasan persekitaran sekolah dan hukuman akan dikenakan jika mereka didapati melanggar peraturan yang ditetapkan. Sebagai contoh, peraturan seperti mengenakan denda kepada setiap murid yang membuang sampah merata-rata perlu dikuatkuasakan oleh pihak sekolah jika mendapati murid-murid telah membuang sampah merata-rata. Denda melakukan kerja amal seperti membersih tandas sekolah perlu dikuatkuasakan untuk menyedarkan murid-murid supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan sekali gus menjadikan setiap hukuman yang dikenakan sebagai pengajaran agar tidak mengulangi lagi pada masa depan. Mereka akan berhati-hati jika ingin membuang sampah merata-rata kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Oleh itu, penguatkuasaan peraturan juga mampu memastikan kawasan sekolah sentiasa bersih.
Di samping itu, kempen juga merupakan wadah yang amat berkesan dalam membina sekolah yang bersih. Kempen yang dilancarkan mampu memberi kesedaran kepada murid-murid agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekolah. Sebagai contoh, kempen Sekolah Rumah Keduaku seperti yang dilancarkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Tendong, Kelantan telah menobatkan sekolah tersebut sebagai Sekolah Harapan Negara pada tahun 2010. Menerusi kempen tersebut, warga sekolah telah diberi kawasan angkat dan mereka dikehendaki menjaga kawasan angkat tersebut dengan kreativiti masing-masing. Pada masa yang sama pihak sekolah telah menyediakan insentif berupa wang tunai dan piala pusingan untuk dianugerahkan kepada kawasan angkat yang meraih tempat pertama pada akhir tahun. Inisiatif ini telah menyebabkan murid-murid saling bekerjasama ibarat berat sama dipukul ringan sama dijinjing untuk mencantikkan  kawasan mereka kerana ingin menang. Mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga dan wang bagi memastikan kawasan masing-masing menjadi cantik. Jadi jelas menunjukkan bahawa kempen yang sering diuar-uarkan oleh pihak sekolah mampu memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih.
Kesimpulannya, pihak sekolah perlu merancang pelbagai program untuk memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih. Setiap kejayaan akan bermula dengan perancangan yang rapi. Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tanpa usaha kejayaan tidak akan mendampingi kita. Oleh itu, kerjasama yang padu antara warga sekolah mampu memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih. Kawasan sekolah yang bersih dapat menyediakan suasana yang kondusif kepada murid-murid. Mereka mampu belajar dengan tenang dan akhirnya kejayaan akan menanti mereka pada masa depan.
sumber:  http://blogcikguazaman.blogspot.com/2012/10/karangan-target-spm-2012-4.html

No comments:

Post a Comment

Post a Comment