Setelah
menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas
daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada
menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak
boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara
kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit.
Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat,
tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan
dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi
Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang
disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh
dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk
merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat
didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.
Setiap
penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian
yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif
dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke
seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Memetik kata-kata azimat Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba
mendorong manusia ke arah kebinasaan.
Lantaran
itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat
supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat
Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya
berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan
sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara
berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana
peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut
rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan
pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi,
menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan
kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan
dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan
harga barangan.
“Jika
satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang
kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun
begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian
itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang
telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara
Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan
bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai
kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi
hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan
langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi
yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah
mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan
untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi
termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang
telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya
FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak
golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh
peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi
ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih,
serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius,
apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih
baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama.
Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa
kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau
NGO.
Tokoh
psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh
diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata
ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di
bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj
yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa
seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap
mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh
kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah
memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke
premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga
mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah
darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan
tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal,
mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan
telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga
yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan
hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat
pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa
membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak
bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Lampu
Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih
dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan
semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh
kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas
kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan
prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang
kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia
masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah
sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan
bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna
yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang
tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna
kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna
akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada
dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku
kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak
berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan.
Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna
termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan
bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka
seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.
Setelah
meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh,
segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk
mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia
yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu
kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang
bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh
itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak
berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu,
Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun
Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin
No comments:
Post a Comment