BUATAN MALAYSIA: PROTON TUAH
Berdasarkan gambar yang diberi, huraikan pendapat anda tentang kebaikan membeli barangan buatan tempatan.
Sejajar
dengan landaan gelombang globasasi dengan pelbagai corak, roda
pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta
ini sehingga mengalami anjakan paradigma ke arah mengapai hasrat sebagai
negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini,
terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata
Malaysia sentiasa mengagung-angungkan barangan import sehingga dapat
menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu
bertanding dan bersaing dengan barangan import bak kata peribahasa,
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan
Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma
supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana
kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah
bagai menyelam minum air sekiranya kita membeli barangan buatan
Malaysia. Persoalannya, apakah kemasalahan dan faedah yang diundang
dengan menyokong barangan buatan tempatan?
Pada
realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita
dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan
Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih
mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan
Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi
daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut
buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling
berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pameran kasut
Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan
buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai
jaminan dari segi kualiti barangan. Secara tidak langsung, kita dapat
menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekaligus meningkatkan
imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota
masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli
barangan buatan Malaysia.
Tidak
ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah
semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari
masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-angungkan barangan buatan
tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia.
Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan
sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya
golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bagai
kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara
dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak
barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal
yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan
buatan temptan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa
sebenarnya ‘Malaysia Boleh’ yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita
bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara ‘kalau
masih rebung,mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi’.
Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk
dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sesungguhnya,
seperti yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang
keempat, Tun Doktor Mahathir Mohammad, ‘membeli barangan buatan tempatan
merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam
bidang industri.’ Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa
sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan
menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun
pelbagai barangan import yang terkenal di seantera dunia telah
membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan
tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini
dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan
barangan import. Peningkatan dalam pembelian barang buatan dapat
membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung.
Deduksinya,kita dapat memajukan industri tempatan supaya mencapai hasrat
negara menjadi negara industri.
sumber: http://spmbahasamelayu.blogspot.com/2011/10/contoh-karangan-cemerlang-bahagian.html
No comments:
Post a Comment