Monday, 15 October 2012

langkah-langkah untuk merapatkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat


Tugasan – langkah-langkah untuk merapatkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat
Kini hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat sama ada di bandar atau di kampung semakin renggang. Jika disingkap kembali, masih ada sebilangan masyarakat kita yang tidak mengenali jiran di sebelah rumah mereka. Sikap individualistik seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini akan menghalang usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Perpaduan yang kejap adalah bermula daripada hubungan kejiranan yang kukuh. Oleh itu, pelbagai minhaj perlu dilakukan untuk merapatkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat hari ini.
Amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat mampu merapatkan hubungan antara jiran. Gotong-royong yang melibatkan semua lapisan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat mengeratkan  hubungan sesama jiran. Kerja-kerja gotong-royong seperti membersihkan longkang yang tersumbat, kawasan perkuburan dan padang permainan kanak-kanak pada hujung minggu misalnya mampu mengukuhkan hubungan antara jiran. Hal ini demikian kerana masyarakat dalam kawasan kejiranan sama-sama keluar untuk melaksanakan tugas yang telah diagihkan. Mereka dapat bertemu, bertegur sapa dan bercerita tentang kerjaya, keluarga dan isu-isu terkini ketika  bergotong-royong. Peribahasa sambil menyelam minum air sangat relevan dalam hal ini kerana selain dapat menyiapkan tugasan dengan cepat, aktiviti seperti ini juga mampu merapatkan hubungan antara jiran kerana mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Oleh itu, amalan gotong-royong dapat mengeratkan ikatan kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, rukun tetangga yang ditubuhkan di taman-taman perumahan dan kampung-kampung juga dapat mengeratkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat. Rukun Tetangga diwujudkan untuk menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat sesuatu tempat. Penghuni taman-taman perumahan dan kampung akan bertugas mengikut giliran yang telah ditetapkan. Mereka akan meronda pada waktu malam dalam kumpulan yang terdiri daripada 4 hingga 5 orang untuk memastikan kawasan kejiranan mereka selamat daripada sebarang kejadian jenayah. Mereka bukan sahaja meronda untuk memastikan keselamatan rumah sendiri tetapi juga rumah-rumah jiran yang lain. Dengan kata lain, mereka akan menjaga rumah jiran seperti menjaga rumah sendiri. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaludin Abd Rahman semasa berucap dalam majlis bersama komuniti di Kota Bharu baru-baru ini mengingatkan masyarakat supaya memantapkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) kerana program ini mampu mencegah jenayah sekali gus hubungan kejiranan dapat ditautkan. Jadi, rukun tetangga juga mampu merapatkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Seterusnya, amalan ziarah-menziarahi jiran juga dapat mengeratkan ikatan kejiranan dalam kalangan masyarakat. Amalan ziarah-menziarahi jiran yang sakit atau kematian misalnya dapat menjalin hubungan antara jiran. Apabila kita menziarahi jiran yang ditimpa musibah, kita bukan sahaja dapat mengetahui perkara yang berlaku kepada jiran kita, tetapi pada masa yang sama juga dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka. Sebagai contohnya, jika kita melawat jiran yang menderita sakit berpanjangan,  maka kita dapat mencadangkan beberapa alternatif yang boleh diambil bagi mengubat penyakit yang ditanggung. Jika selama ini mereka buntu untuk menyelesaikan masalah, tetapi oleh sebab kita menziarahi mereka maka penderitaan mereka dapat dikurangkan. Oleh itu, amalan ziarah-menziarahi dapat mengeratkan hubungan sesama jiran.
Akhir sekali, hubungan kejiranan dapat dirapatkan jika aktiviti seperti sukan komuniti dianjurkan di kawasan kejiranan. Sukan komuniti seperti pertandingan bola sepak, sepak takraw, sukan rakyat dan sebagainya mampu merapatkan hubungan antara jiran. Semua lapisan masyarakat sama ada lelaki, perempuan, tua, muda atau kanak-kanak akan bersama-sama melibatkan diri dalam sukan komuniti yang dianjurkan. Hubungan antara mereka menjadi rapat kerana mereka dapat mengenali antara satu sama lain dan bekerjasama merancang strategi bagi memenangi setiap pertandingan yang disertai. Sebagai contoh, sukan komuniti seperti tarik tali yang dianjurkan sempena program hari keluarga di kawasan kejiranan mampu mengukuhkan hubungan kejiranan kerana disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.  Jadi, jelas menunjukkan bahawa sukan komuniti bukan sahaja dapat mengeratkan ikatan kejiranan dalam kalangan masyarakat tetapi pada masa yang sama mampu mengekalkan warisan kebudayaan negara agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
Kesimpulannya, hubungan kejiranan perlu dirapatkan oleh masyarakat Malaysia. Hal ini penting bagi mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib b. Tun Abdul Razak melalui Gagasan 1Malaysia beliau sebaik sahaja meneraju tampuk pemerintahan negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa hubungan kejiranan yang erat bukan sahaja dapat memastikan kawasan kejiranan selamat tetapi pada masa yang sama mampu melahirkan masyarakat yang madani walaupun negara kita terdiri daripada rakyat berbilang kaum.

 sumber: http://blogcikguazaman.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment